Semanis Epal Hijau

Tuesday 12 July 2011

Koleksi Petua Untuk Membentuk Anak-Anak

Asas Adab Pergaulan Anak-Anak – Ibu bapa perlu memelihara anaknya daripada bercampur-gaul dengan budak-budak yang telah dibiasakan dengan kehidupan bersenang-lenang dan bermewah-mewahan atau memakai pakaian yang indah-indah. Ibu bapa juga harus melindungi anak-anaknya dari orang yang memperdengarkan kepadanya sesuatu yang tidak baik. Sebab apabila anak itu tidak dikawal sejak dari mula, nescaya dia akan dikuasai oleh berbagai-bagai sikap yang rendah, seperti buruk budi pekerti, pendusta, pendengki, pencuri, suka meminta dengan paksaan, suka menjaga tepi kain orang, banyak tipu daya dan suka membuat sesuatu yang tidak berguna. Oleh itu  anak haruslah diberikan perlindungan dari segala sifat negatif, iaitu dengan jalan mendidiknya dari permulaan pertumbuhannya.
Petua Menegur Anak-Anak – Apabila menegur anak, janganlah terlalu banyak mencelanya pada setiap waktu, sebab ini akan menyebabkan, ‘telinga si anak menjadi tebal’ (tidak mengendahkan segala celaan itu). Dia akan terus berani membuat kesalahan dan segala nasihat yang dihamburkan kepadanya tidak akan meninggalkan apa-apa kesan di dalam hatinya. Kita mesti  bijak mengendalikan cara-cara berbicara dengannya . Jangan menegur atau memarah anak melainkan pada masa-masa yang tertentu. Bagi ibu pula harus pandai memainkan peranannya, iaitu dengan mengingatkan si anak supaya bersifat segan kepada ayah dan menegahnya supaya menjauhi segala kelakuan yang buruk.
Petua Membentuk Sikap Anak-Anak – Jangan sekali-kali memalukan anak atau membuka rahsianya, dan janganlah menampakkan kepadanya, bahawa ada orang lain yang berani melakukan sepertinya. Terutama sekali apabila anak itu telah mencuba untuk menutup keaibannya, dan bersungguh-sungguh cuba menyembunyikan kesilapannya. Sebab membuka rahsianya mungkin akan menimbulkan perasaan tindak balas anak itu, sehingga dia menjadi berani mengulangi kelakuan yang salah itu, meskipun diancam untuk didedahkan kesalahan itu kepada orang ramai.
Petua Membentuk Peribadi Anak-Anak – Apabila terlihat budi pekerti dan kelakuan anak yang terpuji,maka hendaklah dia dimuliakan dan dibalas dengan sesuatu yang boleh menggembirakan hatinya dan dipuji kelakuannya yang baik itu di hadapan orang ramai. Tetapi jika dia terlanjur sesekali dalam sesetengah perkara, hendaklah berpura-pura terlupa atau tidak nampak akan kelakuannya yang salah itu.  Sekiranya dia mengulangi lagi perbuatan salah itu bagi kali kedua,  sebaiknya hendaklah dia ditegur secara rahsia dan menyatakan, bahawa perkara yang dibuatnya itu tidak patut dibuat oleh seseorang sepertinya. Kemudian hendaklah ia diingatkan sekali agar jangan kembali melakukan perkara seperti itu lagi, kerana akan memalukan dirinya jika diketahui orang.
Asas Adab Pakaian untuk Anak-Anak – Ibu bapa  jangan menggalakkan anak-anak lelaki memakai pakaian yang berwarna-warni, ataupun memakai pakaian sutera dan menyatakan kepada mereka, bahawa pakaian berwarna atau sutera itu adalah pakaian kaum wanita. Orang lelaki harus merasa malu apabila memakai pakaian serupa itu. Ini penting diingatkan kepada anak-anak itu berulang kali. Perlihatkan rasa tidak senang jika anak lelaki itu suka mencuba-cuba pakaian menyerupai perempuan.
Dipetik dari ENSAIKLOPEDIA PETUA MELAYU LAMA.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana anda sudi meninggalkan komen.In Sha Allah akan saya kunjungi blog anda .....